Sunday, July 19, 2009

19/07/2009

Sedang aku rehat-rehat sambil menikmati laksa bersama sambal sotong di gerai lori, mata aku menangkap seorang ibu yang gigih melayan anaknya yang mengidap autisme bermain-main di tempat permainan kanak-kanak, lantas aku alihkan mata ke tempat sepasang kekasih yang bercanda di bawah pondok di tepi taman, 100 meternya terdapat gerai kecil yang ditolak teroli seorang perempuan menjual cempedak goreng, malang harum cempedak goreng itu tidak sampai ke lubang hidungku.

Seorang ibu yang gigih membesarkan anaknya, sepasang kekasih muda yang bercanda yang tidak ketahuan tarikh nikahnya, seorang tua yang sibuk menggoreng cempedak yang harum dan seorang anak muda yang menikmati semangkuk polistrin laksa bersama sambal sotong. Semuanya mempunyai kisah tersendiri.

Teringat aku kisah Pak Hamka bersama seorang saudagar di dalam sebuah motokar melintasi sawah-sawah padi di sebuah desa. Saudagar itu mengeluh kepada Hamka, alangkah beruntungnya dan enaknya petani itu menjamah walau sekadar nasi panas, kuah gulai berserta ikan masin bersama kopi o tetapi berselera sedangkan aku tidak dapat merasai nikmat sebegitu walaupun dihidangkan dengan makanan yang enak. Perasaan nikmat itu sungguh berlainan sekali.

Betul sekali, nikmat Tuhan itu datang dari perlbagai bentuk, dan beruntunglah orang yang bersyukur dengan nikmat Tuhan.

"Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." Ibrahim 34.

Monday, July 13, 2009

13/07/2009

Manusia sering sanggup bermatian mempertahankan hujah. Kebenaran itu tetap satu tetapi bagaimana kita mempertahankan kebenaran itu adalah penting juga. Aku seringkali semacam ada satu ignition apabila berbeza pendapat; kerja aku, fikiran aku dan semangat aku bertambah kuat. Aku tidak tahu sama ada ini baik atau tidak.

Alangkah baiknya jika manusia ini jika berbeza pendapat berupaya mendorong manusia lain supaya memperkukuhkan hujah dan menyusun kemas idea mereka disamping kita tidak ketinggalan mempertahankan hujah kita. Sering terjadi apabila kita berbeza pendapat kita akan mempertahankan hujah sambil menyerang orang lain sehebat yang mungkin umpama peluru machine gun. Sedangkan jika kita mendorong orang lain dalam mencari-cari kekuatan hujah mereka,akhirnya mereka akan terjumpa juga kelemahan dan ketidakbenaran itu.

Atau di dalam perjalanan itu, kita sebenarnya yang salah dan silap, siapa tahu bukan?

Wednesday, July 08, 2009

08/07/2009

Kerajaan menghapuskan PPSMI, hanya nikmat tuhan sahaja yang dapat menceritakan kegembiraan ini yang menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan mempunyai bahasanya yang tersendiri.Aku mempunya cerita untuk Bahasa Inggeris ini.

Tahap penguasaan Bahasa Inggeris aku di sekolah rendah amatlah rendah. Hampir gagal dan gagal di setiap di setiap ujian dan peperiksaan adalah perkara biasa yang terjadi. Aku sememangnya tidak terkejut jika mendapat kertas ujian dengan markah yang rendah. Markah yang rendah itu selalu mencacatkan keputusan lain-lain subjek. Peristiwa yang tidak dapat aku lupakan adalah hampir-hampir ditukarkan kelas oleh kerana kelembapan aku di dalam Bahasa Inggeris, mujur subjek-subjek lain banyak membantu.Aku juga sering dilantik sebagai rakan pemimbing untuk rakan-rakan yang lain yang agak lemah menjelang peperiksaan UPSR kerana aku baik di dalam sains dan matematik.Dan oleh kerana kelemahan Bahasa Inggeris aku mendapat no. yang corot kesan daripada penilaian yang hanya menumpukan kepada berapa banyak "A" dan "D".

Apa yang aku banggakan sekarang adalah pendapat aku sewaktu itu, aku agak dengan lantang mengatakan bahawa untuk masuk ke menara gading tidak memerlukan kita bercakap Inggeris( walaupun pendapat aku ini adalah salah ;P). Hati aku amat meronta-ronta untuk tidak belajar Bahasa Inggeris, kelas Inggeris 3 kali seminggu begitu membuatkan naluri aku untuk malas datang ke sekolah mencanak-canak. Mengapa aku perlu belajar Bahasa Inggeris sedangkan diwaktu itu aku bebas belajar matematik dan sains di dalam Bahasa Melayu, berbual dengan rakan di dalam Bahasa Melayu, bercakap dengan pengetua juga berbahasa Melayu,menonton berita TV bahasa Melayu,rancangan Inggerisnya pula ada subtitle Melayu di bawahnya,malah bercakap dengan ketua kampung juga dengan perantaraan Bahasa Melayu.

Jadi untuk apa aku belajar Bahasa Inggeris?

Jawapannya adalah kerana faktor ekonomi. Semua rakyat Malaysia belajar Bahasa Inggeris kerana faktor ekonomi. Tanyalah mana-mana sektor, semuanya akan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium. Jika anda tergagap-gagap bercakap Inggeris dengan rakan setempat kerja anda,anda dikira bodoh. Jika ada tergagap-gagap bercakap Inggeris dengan interviewer berbangsa Malaysia anda akan gagal.

Aku hanya rindukan diriku yang dahulu, yang bijak walaupun tanpa Bahasa Inggeris. Aku juga mengimpikan 1Malaysia yang bijak, dengan juga tanpa berbahasa Inggeris. Mengapa perlu kita berbahasa Inggeris sedangkan kita bijak? Mengapa kita berusah payah mempelajari Bahasa Inggeris untuk mereka-mereka yang terkial-kial belajar Bahasa Melayu?

Bahasa Melayu adalah untuk semua rakyat Malaysia.Sungguh aku rindukan sahabat aku sewaktu darjah 4 yang sentiasa berlumba-lumba di di dalam subjek matematik dengan aku, Ooi Sok Siong.

Wednesday, July 01, 2009

01/07/2009

Beberapa tahun yang lalu, sewaktu aku minum-minum di kafeteria di antara blok hostel siswa dan siswi,kaca televisyen menayangkan Akedemi Fantasia yang aku tidak pasti kali ke berapa. Pentasnya penuh berwarna-warni, acara tersebut memang gilang gemilang.

Aku bertanya kepada sahabat aku, apa nilai jubah yang di pakai oleh peserta-peserta AF itu, apa bezanya dengan jubah yang bakal kita pakai dan kenakan nanti. Dengan pantas sahabat aku menjawap tiada nilai melainkan populariti. Mengapa? aku bertanya kembali. Kerana setiap jubah yang dipakai nanti adalah memberi makna dan nilai tersendiri kepada pemakainya.Selain daripada setiap jalur, corak dan warna pada jubah itu yang mempunyai makna dan tradisi yang tersendiri ; jubah adalah perlambangan semangat tidak kenal putus asa, penat dan lelah kepada setiap peluh, mata yang bersengkang, pertarungan antara kemalasan dan cita-cita. Semuanya adalah terangkum di dalam sebuah perlambangan sepasang jubah. Dan jangan dilupakan bahawa jubah juga membawa nilai kepada orang-orang yang disebalik tabir itu, ibu bapa, guru-guru, para pensyarah, orang tersayang dan sesiapa sahaja yang membantu untuk sebuah kejayaan itu.

Jubah hanyalah fizikal dan bentuk yang tidak mempunyai sebarang nilai kerana nilai tersebut datang daripada sebuah kecintaan dan perjuangan.Jubah bererti semangat, penghormatan, dan kecintaan kepada ilmu!

Jadi apa nilai dan makna sepasang jubah kepada mereka, jariku menunjuk kearah kaca tv. Tiada...melainkan air mata penuh pembaziran daripada kita.

Monday, June 29, 2009

29/06/2009

Suatu petang setelah penat bersenam, aku duduk-duduk di pinggir padang rumput. Entah mengapa, setelah sekian lama aku beraktiviti di situ aku tidak pernah mencuri masa membiarkan mata ini sebebas-bebasnya untuk melihat sana sini. Di stadium itu memang ramai yang menghabiskan masa untuk berjogging dan bermain bola. Aku kira 1/3 daripada pelari-pelari tersebut adalah pelari yang biasa menyertai marathon-marathon yang di adakan sekitar negara( berdasarkan baju dan kasut yang dipakai).

Mata aku lantas menangkap seorang old man yang tersangat gigih berlari. Badannya agak bongkok oleh kerana faktor usia. Peluhnya memercik jatuh ke bumi, kulit pada wajah dan badannya sudah kerut seribu.Rambutnya hampir putih semua, dengan terhegeh-hegeh dan termengah-mengah menyedut udara (oksigen) memotong larian orang yang lebih muda dari beliau. Ya, diusia begitu ( atau untuk yang lebih muda) boleh sahaja duduk-duduk berehat di rumah, atau bersenang-senang di kedai mamak dengan teh tarik, atau paling tidak pun membaca surat khabar sambil menunggu matahari tenggelam. Tetapi old man ini memilih untuk berletih-letih, berpeluh-peluh.

Hidup ini sentiasa menyediakan pilihan, pilihan itu sentiasa ada di tangan kita. Kita mungkin dilahirkan di dalam keluarga yang miskin, tetapi kita boleh memilih untuk hidup gembira, bersemangat dan bermotivasi. Kita mungkin dilahirkan di dalam keluarga yang kaya, tetapi kita boleh memilih untuk menjadi insan yang tidak bersyukur, tidak gembira dan yang memanding-manding. Semuanya ada di tangan kita.

Wednesday, June 24, 2009

24/06/2009

Aku baru sahaja membaca satu pertiga daripada buku words of ecstasy in sufism tulisan Carl W.Ernst. Petang tadi diwaktu tea break aku melepak dengan beberapa orang kawan di perkarangan kafeteria menjamah keropok lekor, kek gula hangus (yang liyat)dan menghirup kopi O panas. Seorang kawan aku membuka topik tentang masa, bagaimana masa ini berfungsi. Maka terkeluarlah teori-teori daripada kami-kami ini tentang kelajuan cahaya, teori Einstein tentang masa itu adalah ruang yang sentiasa mengembang, kereletifan sifatnya masa dan pelbagai lagi. Ada juga teori mengatakan ruang,masa dan peristiwa itu umpama satu negetif filem yang di dalamnya terakam pelbagai peristiwa lalu dilipat-lipatkan di dalam suatu ruang masa, jadinya semua perkara terjadi di dalam masa yang sama,cuma peristiwa yang berbeza,oleh kerana manusia mempunyai otak yang dapat menafsirkan peristiwa-peristiwa tersebut,maka itulah masa!!

Bersungguh-sungguh dalam perbualan tersebut, masa senggang untuk merelakskan minda membuka cerita-cerita yang sebegitu.

Terus dilanjutkan perbincangan mengenai makna usaha dan takdir dan kaitannya dengan masa. Ini membuatkan aku teringat zaman kegemilangan Islam, umat Islam terpisah dengan 3 fahaman, Muktazilah, Jabbariah dan juga Ahli Sunnah yang diperlajari di tingkatan 5. Pelbagai pandangan dan ragam.


Manusia ini rupanya adalah sama, tetapi cara pandangnya adalah sama sekali berbeza. Cara pandang ini berkait rapat dengan pengalaman hidup, kematangan usia, ketinggian ilmu, kecerdasan minda dan ilham dari Illahi.

Aku meninggalkan mereka dengan senyuman terlukis dibibir. Sungguh aku belajar banyak perkara yang baru yang aku terlupa dan tidak ketahui dari kawan-kawan aku.Never ever under estimate people sitting next to you.

Aku tersenyum lagi..

Betapa besarnya kurnia tuhan kepada manusia, dan betapa nikmat iman (percaya kepada tuhan) itu sungguh besar ertinya ke atas makhluk sekerdil-kerdil manusia ini. Namun manusia masih mencari dunia yang tuhan gambarkan hanya senilai sayap nyamuk.

p/s: mungkin juga tulisan ini ada kaitan dengan ini

Tuesday, June 23, 2009

23/0/2009

Aku tersangatlah malas untuk membaca jika berada di rumah. Tempat aku semangatnya memuncak-muncak untuk membaca adalah jika berada di rumah ibadah, seminar dan juga di perpustakaan.Petang tadi sewaktu aku melakukan aktiviti jogging aku membawa sebuah buku, aku letakkannya ditepi padang bersama-sama dengan sebotol air masak.

Usai aku berjogging, aku berehat dan cool down untuk seketika, aku capai air masak dan meneguknya sambil membawa buku berjalan menuju ke tempat duduk stadium yang berbumbung. Sambil membetulkan pinggung di tempat duduk yang tersangat kecil,lembut dan berhabuk itu aku sempat melihat bola digolek ditendang di tengah padang.

Aku tidak tahu kenapa tetapi tersangat enjoy membaca di dalam keadaan begitu, adakah kerana ruang oksigen yang lebih banyak yang disedut selepas penat berjogging, atau kerana persekitaran yang begitu mendamaikan( atau mungkin sahaja rumah aku sebenarnya yang tidak tenang?).

Namun yang pasti, pengalaman yang pelbagai itu patut dirasai dan dinikmati dengan penuh rendah diri. Jika sesuatu itu sukar berubah dan tidak mendorong, carilah sumber ispirasi dan persekitaran yang baik untuk menjadi pemangkin. Semoga pengalaman yang baik menjadi ingatan yang segar di dalam penjara dunia.