Monday, August 09, 2010

Politik di Kampus.

Beberapa hari yang lalu aku sempat menonton rancangan Bual Bicara di TV3,tetamunya adalah bekas Naib Canselor Uitm dan juga Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi Malaysia.Aku bukanlah seorang yang aktif di dalam politik kampus sewaktu di universiti dahulu tetapi itu tidak bermakna aku tidak ikut serta dan ambil tahu di dalam politik kampus.Pada aku pandangan bahawa politik itu harus diletakkan sama ada di blok UMNO,PAS mahupun DAP adalah sangat bebal,mereka hanya melihat bahawa politik itu hanya ada hitam dan putih.Aku sebenarnya amat pelik dengan pandangan tidak membenarkan mahasiswa untuk terlibat secara langsung di dalam politik atas alasan mereka ini kurang matang.Lalu aku ingin melontarkan soalan,bilakah mereka akan matang?Kematangan pada aku setelah mereka bergelumang di dalam politik itu sendiri, dan natijah dari itu maka akan muncullah kematangan.

Ruang di universiti haruslah menjadi tempat menguji teori,beranalisis,memproses ilmu dan seterusnya mencabar ilmu itu sendiri.Dengan ini proses berfikir mahasiswa akan lebih tersusun,berstruktur dan berterusan.Mereka-meraka ini sudahlah dibebalkan dan dibekukan otak mereka sewaktu berada dibangku sekolah dari berfikir,maka di sinilah gelanggangnya mereka beradu fikir.Mereka harus jauh melangkaui aliran politik berpartisan.Bukan tidak boleh berparti politik,tetapi mereka harus tidak terperangkap di dalam aliran ini,masa belum lagi sesuai untuk itu.

Sudut pidato yang ketika dahulu begitu giat di kampus-kampus telah menjadi ruang-ruang yang kosong pemikirannya.Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi cuba untuk mengaktifkannya kembali dan merujuk kepada bicaranya ia agak gagal kerana adanya tapisan dahulu oleh pihak universiti ke atas pidato-pidato ini.Teks-teks terpaksa melalui tapisan dan akan disemak dahulu sebelum dilepaskan.Mana mungkin percambahan fikiran akan berlaku jika adanya tapisan,maka yang hanya dilepaskan hanyalah pidato-pidato yang memuaskan nafsu para pegawai universiti sahaja. Tidak akan ada percambahan idea dan pendapat.Pidato-pidato ini isinya sama sahaja dan merupakan ayat pengulangan yang dapat dibaca di dada-dada akhar. Akhirnya, sudut-sudut itu sekali lagi usang,bukan kerana pengharaman sudut itu tetapi pengharaman dari perbezaan pendapat.

Masyarakat sekali lagi dimomokkan bahawa jika dibenarkan mahasiswa sekali lagi berpolitik maka mahasiswa akan turun ke jalan-jalan dan pelajaran di dewan kuliah terabai.Masakan jadi begini, kita meletakkan suatu sifir yang sangat janggal dan salah. Mahasiswa jadi begitu kerana hujah mereka tidak dilayan,soalan mereka tidak dijawap dengan jawapan oleh pemerintah.Pegawai universiti juga takut dengan hal ini,mahasiswa selalu bertanya tentang hak mereka,bekalan air bersih,tender cafe,hostel dan sebagainya. Banyak isu-isu ini hanya sekadar dibibir pelajar dan disudut pinggirkan di pejabat HEP dan di kolej kediaman.Jawapan-jawapan tentang isu ini hanya dijawap sinis dan tidak memuaskan hati.

Dengan ruang politik dibuka seluasnya,maka campur tangan politik oleh mana-mana pihak terhadap universiti dapat diseimbangkan.Sebagai contoh,selepas ini tidak akan ada kursus-kursus yang idea cadangannya dari pihak-pihak yang ada kepentingan politik dan juga dapat mengelak universiti sebagai tempat melampiaskan nafsu peribadi pemimpin-pemimpin seperti menyediakan tempat 5000 orang untuk pelajar dari keluarga yang miskin dengan pencampaian akedemik yang tidak memberansangkan supaya dapat belajar di universiti dan sebagainya. Sudah tentu idea-idea yang sebegini dan memaksa universiti laksanakan akan menghadirkan debat terbuka tentang keberkesanan atau pun kebebalan idea ini.

Cakap-cakap mengenai akan adanya pertembungan politik antara pelajar dan pensyarah akan mengakibatkan favoritism di dalam soal permarkahan adalah sangat mengarut.Pensyarah adalah tugas yang mulia dan bermaruah dan tidak patut seseorang pensyarah itu terperangkap di dalam politik sempit ini.Jika itu menjadi kayu ukuran,maka kita lebih patut meragui anggota polis yang menjaga rumah seorang Menteri Besar dari pihak pembangkang,bukankah begitu?


Hak politik perlu diberikan kepada mereka, supaya mereka diajar apa itu tanggungjawap terhadap diri dan masyarakat,supaya mereka disedarkan diri, supaya mereka berfikir.Mana mungkin jika mereka dilaung-laungkan supaya bertanggungjawap sedangkan tidak ada perkara untuk mereka tanggung dibahu mereka itu lagi.Jangan risaukan tentang hal-hal sentitif yang menjadi tabu oleh golongan tua, mereka sudah cukup matang untuk memahami kalimah politic is not about the right decision but it is all about multiple sensitivities.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home